BUKAN PERMATA BIASA..


Di Madinah ada seorang wanita solehah yang cantik menawan lagi bertaqwa. Menjelang tengah malam, ia sentiasa bangkit dari tidurnya untuk solat malam dan bermunajat kepada Allah. Ia tidak peduli sama ada waktu itu musim panas ataupun musim dingin kerana disitulah letak kebahagian dan ketenteramannya.

Pada saat itulah dia khusyuk berdoa , merendah diri kepada Pencipta dan pasrah akan hidup matinya hanya padaNya. Dia juga amat rajin berpuasa, meskipun sedang bermusafir. Wajahnya yang cantik semakin bersinar oleh cahaya iman dan ketulusan hatinya.


Suatu hari datanglah seorang lelaki untuk melamar wanita itu. Kononnya ia termasuk dalam golongan lelaki yang taat beribadah. Setelah melakukan solat istikharah akhirnya wanita itu menerima lamaran tersebut dengan syarat upacara perkahwinan hendaklah diselesaikan sebelum tengah malam berbanding kebiasaan awal pagi sehingga azan subuh. Setelah itu ia harus berada di rumah suaminya. Hanya ibunya yang mengetahui sebab-sebabnya.

Semua orang takjub dengan syarat wanita tersebut. Pihak keluarganya sendiri berusaha memujuk wanita itu agar mengubah pendiriannya namun wanita itu tetap pada keinginannya sekiranya pihak lelaki mahu lamarannya itu diterima. Akhirnya pihak keluarga lelaki bersetuju dengan permintaan si gadis.

Waktu terus berlalu...Tibalah saat yang dinantikan oleh kedua-dua mempelai. Saat yang penuh bermakna bagi sesiapapun yang akan memjalani kehidupan baru. Saat itu pukul sembilan malam. Doa keberkatan mengalir dari para undangan buat sepasang pasang pengantin baru. Pengantin wanita terlihat begitu cantik.

Jam mulai mendekati angka dua belas malam. Sesuai dengan perjanjian,tiba saat si suami akan membawa isteri ke rumahnya. Si suami memegang tangan isterinya diiringi ragam perasaan yang bercampur baur menuju rumah baru harapan mereka. Si isteri berharap untuk menjalani kehidupan yang penuh dengan keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Setibanya di sana, si isteri meminta izin suaminya untuk memasuki kamar mereka, kamar yang ia rindukan untuk membangunkan mimpi-mimpinya. Di kamar itu ibadah akan ditegakkan dan menjadi tempat di mana dia dan suaminya melaksanakan solat dan ibadah secara bersama-sama. Pandangannya menyisir seluruh ruangan. Tersenyum diiringi padangan si suami mengawasi dirinya.

Senyumannya seketika memudar. Hatinya begitu tersekat. Bola matanya yang bening tertumpu pada sebuah gitar yang terletak di sudut kamar. Wanita itu nyaris tak percaya. Hatinya bertanya-tanya.
Fikiranya tiba-tiba menjadi kacau. Benarkah apa yang diucapkan oleh insan yang kini telah menjadi suaminya?

Segala angan-angannya menjadi hampa. Sungguh dia amat terluka. Hampir sahaja air matanya tumpah. Dia berulang kali mengucap istighafar. Hanya Allah yang maha mengetahui segala keghaiban.
Dia menatap suaminya dengan wajah merah kerana rasa malu dan sedih serta setumpuk rasa kerisauan yang menyelubunginya. “Ya Allah....aku harus kuat dan tabah,sikap baik kepada suami adalah jalan hidupku...” kata wanita itu lirih di lubuk hatinya. Wanita itu berharap, Allah akan memberikan hidayah kepada suaminya melalui tangannya.

Mereka mulai terlibat dengan perbincangan, meskipun masih dibaluti rasa enggan,malu bercampur bahagia. Waktu terus berlalu hingga malam hampir habis. Si suami sungguh terpesona dengan kecantikan isterinya. Ia tersenyum dalam hati. Isterinya sudah berganti pakaian. Sungguh kecantikannya semakin menawan. “Tak pernah ku bayangkan ada wanita secantik ini di dunia ini.

Saat sepertiga malam terakhir Allah SWT mengirimkan rasa mengantuk pada suaminya. Dia tak mampu lagi bertahan. Akhirnya dia pun terlelap. Hembusan nafasnya begitu teratur. Si isteri segera menyelimutinya dengan selimut tebal, lalu mencium kening suaminya dengan lembut. Setelah itu dia segera diresapi rasa rindu kepada Penciptanya dan bergegas menuju ke tempat ibadahnya dengan hati yang melayang.

Apabila tersedar daripada tidurnya si suami berkata sendirian : “ Entah kenapa aku begitu mengantuk, padahal sebelumnya aku betul-betul ingin berjaga sepanjang malam. Belum pernah aku tertidur seperti ini. Sampai akhirnya aku mendapati isteriku tidak lagi di sampingku . Aku bangkit dengan mata masih mengantuk untuk mencari isteriku. Mungkin dia malu sehingga memilih tidur di kamar lain. Aku segera membuka pintu kamar sebelah. Gelap, sepi tak ada suara sama sekali. Aku berjalan pelahan bimbang akan membangunkannya. Kulihat wajah bersinar di tengah kegelapan keindahan yang ajaib dan menggetarkan jiwaku. Bukan keindahan fizikal kerana dia sedang berada di peraduan ibadahnya. Ya Allah, sungguh dia tidak meninggalkan solat malamnya termasuk di malam pengantin. Ku pertajam penglihatanku. Dia ruku’, sujud dan membaca ayat-ayat panjang. Dia ruku’ dan sujud lama sekali. Dia berdiri di hadapan Rabbnya dengan kedua tangan terangkat. Sungguh pemandangan terindah yang pernah ku saksikan . Dia amat cantik dalam kekhusyukannya, lebih cantik dari saat memakai pakaian pengantin dan pakaian tidurnya.Sungguh kini aku betul-betul mencintainya dengan sepenuh jiwa ragaku.”

Selesai sahaja solat dia memandang ke arah suaminya. Tangannya dengan lembut memegang tangan suaminya dan membelai rambutnya. MasyaAllah, Subhanallah, sungguh luar biasa wanita ini.
Kecintaannya kepada kekasih ibadah. Ya ibadah kepada Allah, Rabb yang menjadi kekasihnya.

Hingga bulan-bulan berikutnya wanita itu terus melakukan kebiasaanya, sementara si suami menghabiskan malam-malamnya dengan tidur sepanjang malam dan memainkan alat-alat muziknya. Si suami membuka pintu dengan perlahan dan mendengar bacaan Al-Quran yang demikian syahdu menggugah hati. Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati dia memasuki kamar sebelah. Gelap dan sunyi.

Dia mempertajamkan penglihatan dan melihat isterinya sedang berdoa. Dia mendekatinya dengan lembut tapi cepat. Angin sepoi-sepoi membelai wajah isterinya . Ya Allah . perasaan si suami tersiram. Apatahlagi mendengar isterinya berdoa sambil menangis.Curahan air matanya bagaikan butiran mutiara yang menghiasi wajah cantiknya.


Tubuh si suami bergetar. Ke mana selama ini dia pergi meninggalkan isteri yang penuh Cinta Kasih? Sungguh dia jauh berbeza dengan isterinya-antara jiwa yang bergelumang dosa dengan jiwa gemerlapan di taman kenikmatan, di hadapan Rabbnya.

Lelaki itu menangis..Air matanya tidak mampu ditahan. Sesaat kemudian kedengaran azan Subuh berkumandang. Lelaki itu memohon ampun di atas dosa-dosanya selama ini. Lantas dia menunaikan solat Subuh dengan kekhusyukan yang belum pernah dilakukan seumur hidupnya. Inilah buah dari doa seorang wanita jua seorang isteri yang solehah yang selalu memohon kebaikan untuk si suami- pendamping hidupnya.


Beberapa tahun kemudian, segala perubahan dan kesan taubat lelaki itu mengalir dalam bentuk ceramah, khutbah dan nasihat yang disampaikan lisannya. Ya lelaki itu kini telah menjadi seorang daie yang termasyhur di Kota Madinah.

Memang benar. Wanita solehah adalah Harta yang amat berharga dan termahal bagi seorang lelaki bertaqwa..Bagi seorang suami..isteri yang solehah merupakan permata hidupnya yang tidak ternilai dan “bukan permata biasa”.

No comments:

Post a Comment